Kualiti Perkhidmatan Taska di Malaysia : Pembangunan Model

by Rozbizah Binti Abd Aziz

October 2020

Abstract

Di Malaysia, kebanyakan ibu bapa memilih taman asuhan kanak-kanak yang berdaftar (TASKA), kerana persepsi mereka bahawa pusat-pusat ini mempunyai perkhidmatan yang berkualiti dan diperhatikan oleh pihak berkuasa kerajaan. Dalam kajian kuantitatif ini, matlamat utama adalah mengenal pasti model terbaik untuk mewakili faktor penyumbang yang mempengaruhi pematuhan terhadap akta dan peraturan dalam kalangan pengasuh dan pendidik di TASKA berdaftar.

Kajian ini memperlihatkan penerapan Model Persamaan Berstruktur (SEM) untuk mendapatkan model terbaik bagi mengkaji hubungan antara yang lebih cekap dan tepat terhadap penemuan dan tafsiran pembolehubah. Dalam kajian ini, data utama kaji selidik telah digunakan. Sebanyak 458 TASKA telah dilawati di seluruh Malaysia dan maklum balas dari 534 pengasuh dan pendidik dikumpulkan. Regresi linier berganda dan analisis faktor digunakan untuk mendapatkan model SEM terbaik.

Kajian ini juga menggunakan pendekatan kaedah kajian rekabentuk dan pembangunan iaitu kaedah kajian yang melibatkan tiga fasa. Fasa pertama iaitu fasa analisis keperluan merupakan fasa bagi menganlisa keperluan model i-TASCARE berasaskan integriti dalam pematuhan terhadap akta dan peraturan melalui penilaian kualiti perkhidmatan, kepuasan kerja dan perkembangan kanak-kanak dari perspektif pendidik.

Fasa kedua pula merupakan fasa reka bentuk pembangunan di mana fasa ini menggunakan Permodelan i-TASCARE dan Teknik Nominal Berkumpulan (NGT) untuk mengumpul data serta maklumbalas daripada barisan pakar. Fasa ketiga pula adalah fasa penilaian kebolehgunaan dengan menggunakan pendekatan Model Stake’s Countenance bagi menilai kesesuaian dan kebolehgunaan model i-TASCARE yang dibina. Analisis mendapati bahawa gabungan tiga mediator (kemudahan, kebersihan dan keselamatan) membentuk korelasi yang kuat untuk menganggarkan model persamaan berstruktur lengkap sementara disokong oleh faktor demografi seperti tahap pendidikan, pendudukan, lokasi, jarak, bahasa yang digunakan, yuran dan umur kanak-kanak untuk memperkuat faktor kualiti TASKA.

Data kajian menunjukkan TASKA kerajaan memenuhi tahap pematuhan pengambilan kanak-kanak di antara umur 4 tahun ke bawah. Ini dilihat daripada peratusan untuk TASKA kerajaan sebanyak 99.9% manakala TASKA swasta sebanyak 51.3%. Pada keseluruhannya, pihak berkepentingan bersetuju terdapatnya keperluan untuk satu agensi yang menerajui bidang pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia dengan penyeragaman tugas yang jelas. Manakala bagi penambahbaikan akta dan peraturan, peserta kajian memaklumkan bahawa akta dan peraturan meliputi definisi TASKA, had pengecualian pendaftaran, kuasa pemeriksaan TASKA, terma dan syarat pendaftaran dan lain-lain yang difikirkan perlu dipinda.

Kesimpulannya, perkhidmatan TASKA di Malaysia dilihat semakin baik dan berkembang. Penambahbaikan melalui cadangan draf dokumen dasar dan pelan tindakan diharapkan dapat meningkatkan lagi mutu perkhidmatan TASKA di Malaysia.

You might also be interested in